KOTA KINABALU: Gelombang solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin kembali memuncak apabila dua misi pelayaran kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Global Sumud Flotilla (GSF) digerakkan serentak sejak 1 Oktober 2025 bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang sekian lama dikepung rejim Zionis Israel.
Misi ini turut disertai pertubuhan kemanusiaan Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), yang menjadi sebahagian daripada FFC 2025 bersama 497 peserta dari 46 negara dengan menaiki kapal persiaran untuk menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan keperluan asas kepada golongan rentan di Gaza termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Amer Hudhaifah Hamzah, dalam kenyataannya menyifatkan penyertaan Malaysia dalam misi ini sebagai manifestasi jelas solidariti kemanusiaan global terhadap penderitaan rakyat Palestin yang telah berlarutan sejak 1948.
Dr. Amer menegaskan kedua-dua pelayaran kemanusiaan ini adalah inisiatif masyarakat sivil antarabangsa (civil society humanitarian mission) dan sama sekali tidak bertujuan ketenteraan atau provokasi.
“Misi ini penting untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan yang sekian lama disekat. Ia adalah usaha sukarela untuk membantu mereka yang tertindas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kehadiran misi flotilla ini adalah tindak balas terhadap kezaliman dan sekatan panjang Israel ke atas Gaza serta kegagalan rejim Zionis mematuhi undang-undang antarabangsa.
Pada Khamis, puluhan kapal GSF telah dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa, dan ramai peserta termasuk wanita, wartawan, doktor dan aktivis dilaporkan hilang hubungan, mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan keluarga dan komuniti global.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan oleh tentera Israel.
Beberapa rakaman video yang tular menunjukkan tentera Israel menceroboh kapal GSF dengan senjata lengkap serta menggunakan meriam air bagi menakut-nakutkan peserta flotilla.
Dr. Amer menyifatkan insiden ini sebagai satu lagi pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa oleh Israel dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap keangkuhan rejim Zionis.
Tegasnya lagi, dalam konteks ini, penyertaan MyCARE dalam FFC 2025 amat signifikan kerana ia membantu meneruskan usaha penghantaran bantuan selepas flotilla GSF dipintas.
MyCARE kini menyertai gelombang ketujuh misi flotilla selepas enam penyertaan terdahulu, termasuk Mavi Marmara (2010), Women’s Boat to Gaza (2016), Just Future for Palestine (2018), Handala (2023), serta Break the Siege dan Handala (2024).
Dr. Amer menzahirkan penghargaan kepada MyCARE, rakan kerjasama Fakulti Pengajian Islam UMS, atas keberanian dan keteguhan mereka.
“Fakulti Pengajian Islam UMS berdiri teguh memberi sokongan penuh kepada perjuangan ini dan berdoa agar misi ini dipermudahkan serta berjaya menyampaikan bantuan kepada saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.






