Operasi Bersepadu ESSCOM Tahan 61 PATI di Semporna

Operasi Bersepadu ESSCOM Tahan 61 PATI di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang dikoordinasikan Eastern Sabah Security Command sejak Khamis.

Kesemua individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Sepanjang operasi, sebanyak 1,125 individu serta 375 rumah dan premis perniagaan diperiksa di sekitar bandar Semporna, kawasan setinggan dan penempatan pinggir bandar.

Tindakan turut menumpukan pembanterasan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi, penyalahgunaan pas pelancong serta laluan ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan.

Dalam operasi sama, Sabah Electricity memotong sambungan elektrik haram dengan rampasan material dianggarkan seberat 40 kilogram di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Komander ESSCOM, Victor B Sanjos berkata operasi berterusan itu penting bagi menjamin keselamatan Zon Selamat Sabah Timur.

“ESSCOM tanpa kompromi akan terus memperhebat operasi bersepadu seumpama ini bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu keselamatan dan kesejahteraan awam di Sabah Timur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESS Zone kepada Pusat Operasi ESSCOM.