UMS Lancar Gagasan Strategik 2026 “The Brain of Borneo”

UMS Lancar Gagasan Strategik 2026 “The Brain of Borneo”

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini melancarkan gagasan strategik 2026 bertemakan “The Brain of Borneo” sebagai fasa baharu transformasi universiti itu ke arah institusi ilmu berintegriti, berjiwa dan berimpak global.

Pelancaran disempurnakan menerusi Majlis Amanat Naib Canselor 2026 oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Haji Mansor, yang menegaskan komitmen universiti untuk memperkukuh kedudukan sebagai autoriti keilmuan di Borneo serta rakan strategik yang disegani di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, selepas lebih tiga dekad penubuhan, UMS kini bergerak dengan pendekatan lebih berfokus dan berorientasikan impak, selari dengan keperluan rakyat Sabah serta aspirasi negara.

“The Brain of Borneo adalah tanggungjawab moral dan strategik untuk memimpin dengan ilmu, bertindak dengan integriti dan berkhidmat dengan ihsan,” katanya.

Sebagai teras budaya institusi, UMS memperkenalkan nilai bersama B.R.A.I.N iaitu Beneficent (Bermanfaat), Resilient (Berdaya Tahan), Authentic (Asli), Inclusive (Inklusif) dan Nurture (Memupuk), yang menjadi kompas moral dan asas kepimpinan warga kampus.

Gagasan ini diterjemahkan melalui enam teras strategik di bawah kerangka B.O.R.N.E.O merangkumi pembangunan bakat cemerlang, pengukuhan akademia dan profesional, penyelidikan berimpak tinggi, keterlihatan global, kepimpinan berintegriti serta kelestarian operasi.

UMS turut menetapkan sasaran pengurangan perbelanjaan operasi sekurang-kurangnya dua peratus setahun melalui pendekatan belanjawan berasaskan prestasi.

Dalam memperkukuh kematangan institusi, Hospital Universiti Malaysia Sabah dijadual memulakan operasi secara berfasa bermula April 2026, manakala pembangunan kampus AI Ready akan dilaksanakan bagi menyokong transformasi digital secara beretika dan berasaskan tadbir urus data bersepadu.

Melalui gagasan ini, UMS menegaskan komitmen untuk bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, tetapi membina insan berakhlak, berkemahiran dan berani mencipta perubahan, berteraskan kekuatan Borneo dengan pandangan global.