KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyumbangkan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) bagi memperkukuh keupayaan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah dalam membanteras jenayah dadah di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan replika kunci kenderaan berkenaan kepada Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail sebagai simbolik penyerahan dalam satu majlis di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, hari ini.
Sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat kecekapan operasi, khususnya dalam memerangi ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta pegawai kanan polis dari Bukit Aman.






