KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri membenarkan 10 lagi operasi dan aktiviti beroperasi semula bermula Isnin (20 Sept) ini.
Kesemuanya hanya boleh dilakukan oleh individu yang telah lengkap vaksinasi sahaja (termasuk pekerja) dengan kapasiti 50 peratus (50%) kawasan atau tidak melebihi 30 orang.
Antaranya, menurut Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun adalah aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal terbuka mahupun tertutup.
“Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, Zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara individu atau berkumpulan di gimnasium atau pusat kecergasan yang sama.
“Aktiviti hiking secara individu atau berkumpulan.
“Pusat Latihan Maritim dan Pusat latihan Penerbangan (udara) dan darat.
“Aktiviti kolam memancing dibenarkan beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 6.00 petang dalam daerah yang sama.
“Aktiviti kapal persiaran domestik di dalam perairan negeri Sabah dibenarkan tetapi aktiviti kelab malam dan pub di atas kapal tidak dibenarkan.
“Mesyuarat secara bersemuka turut dibenarkan…
“Semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan pekerja yang telah divaksin.
“Operasi kilang dan kedai minuman keras dibenarkan. Walaubagaimanapun kelab malam, pub dan pusat karaoke tidak dibenarkan.
“Semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dibuka secara berperingkat kepada pelajar yang telah lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas lengkap vaksinasi, namun kemasukan sebenar adalah tertakluk kepada kapasiti IPT,” katanya dalam sebuah kenyataan malam tadi.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) terperinci beberapa operasi dan aktiviti ini akan dikeluarkan hari ini (Ahad).
“Sepuluh jenis operasi dan aktiviti ini akan hanya dibenarkan bermula pada hari Isnin (20 September), iaitu apabila SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 Negeri Sabah telah dikemaskini dan diwartakan,” jelasnya.