Sabah Alu-Alukan Pelabur Jepun Teroka Sektor Ekonomi Biru

Sabah Alu-Alukan Pelabur Jepun Teroka Sektor Ekonomi Biru

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan pelabur Jepun untuk meneroka peluang pelaburan di Sabah, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru yang dilihat berpotensi besar sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri.

Perkara itu disampaikan beliau dalam pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, di Sri Gaya, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi mampan, selain memperkukuh kedudukan Sabah dalam rantaian ekonomi serantau.

Menurut beliau, dasar mesra pelabur yang diamalkan Kerajaan Negeri turut membuka ruang luas kepada pelabur asing untuk meneroka pelbagai sektor strategik termasuk perindustrian, tenaga, pelancongan dan ekonomi maritim.

Shikata berada di Sabah dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari yang turut merangkumi kunjungan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta mempromosikan Green×Expo 2027 yang bakal berlangsung di Yokohama, Jepun.

Beliau diiringi Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Yamashita Yoshito serta beberapa pegawai Kedutaan Jepun ke Malaysia.