13 Pelajar Sabah Terima Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA Sepanjang Tahun Lalu

13 Pelajar Sabah Terima Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA Sepanjang Tahun Lalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 13 pelajar dari Sabah menerima dana pendidikan daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas komitmen berterusan menyediakan pembiayaan pendidikan kepada pelajar di negeri ini.

Beliau berkata, kesemua penerima sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu serta Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Kesemua mereka merupakan anak kepada ahli koperasi, dengan jumlah pembiayaan antara RM8,400 hingga RM17,500 seorang.

“Yayasan ANGKASA turut menyediakan kemudahan pembiayaan pendidikan tanpa faedah yang boleh diubah kepada biasiswa melibatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah dalam negara,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi ANGKASA dan Yayasan ANGKASA di pejabatnya, di sini, semalam.

Kunjungan itu diketuai oleh Pengerusi ANGKASA, Abdul Fattah Abdullah, bersama Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah Dr Zhamrie Gulamrasul, Pengurus ANGKASA Sabah Antony Barubui serta pegawai kanan ANGKASA dan Yayasan ANGKASA.

Dalam pada itu, Ewon menyatakan sokongan terhadap usaha Yayasan ANGKASA untuk memperluaskan program pendidikan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai anak ahli koperasi di Sabah.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Haslinda Hj Ahmad berkata pihaknya merancang menganjurkan Majlis Makan Malam Gala pada November ini sebagai platform strategik mengumpul dana pendidikan.

Menurutnya, penganjuran majlis di Sabah bertujuan memperluaskan capaian bantuan kepada pelajar di negeri ini serta memperkukuh kerjasama dengan koperasi dan rakan strategik tempatan.

“Inisiatif ini tidak menjejaskan peluang pemohon dari Semenanjung kerana sumber dana sedia ada seperti peruntukan ANGKASA, KWAPK, sumbangan korporat dan agensi kerajaan masih memberi tumpuan kepada keperluan di Semenanjung,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu merupakan kesinambungan daripada pelancaran Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA pada Oktober 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus membantu merapatkan jurang akses pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar Sabah.