KUCHING, SARAWAK – Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memutuskan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) dan membentuk Kerajaan Persekutuan seterusnya dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perdana Menteri Sarawak dan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Abang Tun Openg berkata keputusan itu demi kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara terpelihara apabila Negara bakal berhadapan krisis ekonomi lebih genting pada tahun hadapan.
“Demi untuk memastikan kita terpelihara maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan GPS, beliau berkata gabungan tersebut akan menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia1963 (MA63) dan Laporan IGC.
“Menegakkan hak kebebasan beragama dan amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam perlembagaan malaysia, perjanjian malaysia (ma63) dan laporan igc…
“Autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Jika empat parti berkenaan memutuskan untuk bekerjasama, mereka akan mempunyai gabungan 131 kerusi parlimen, lebih daripada 112 kerusi majoriti mudah yang diperlukan, untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.