KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keyakinan bahawa beliau memperolehi sokongan yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri ke -10.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Muhyiddin memaklumkan beliau telah mempengerusikan satu mesyuarat membabitkan Majlis Tertinggi PN, petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan pihaknya telah melaporkan kepada Majlis Tertinggi PN berhubung pertemuannya dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, pagi tadi mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Beliau telah memaklumkan kesediaan Ahli-Ahli Dewan Rakyat GPS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10…
“Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga telah menyatakan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai Perdana Menteri Ke-10.
“Beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama…
“Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Ke Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10 sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.