
KOTA KINABALU, SABAH – Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman mendahului 229 penerima darjah kebesaran, bintang serta pingat Negeri Sabah.
Mohd Nasir bersama Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson Wences Angang dan Rakan Kongsi Pengurusan Takeoff Engineering Sdn Bhd, Datuk Dr Stephen Jacob Jimbangan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk”.
Tiga lagi penerima PGDK ialah Ahli Majlis Daerah Tuaran, Datuk Yong Hen Vui @ Paul Yong, Ketua Pengarang Utusan Borneo, Datuk Lichong Angkui dan ahli politik, Datuk Zaitun Mohd Kassim juga menerima darjah tersebut sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Dalam istiadat berkenaan, seramai 19 penerima lain menerima darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya ialah Setiausaha Politik Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Muhammad Ghazali Hajiji, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin dan Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Sdn Bhd, Dr. Dionysia @ Audrey Aloysius Kibat.
Sementara itu, Penaung Pertubuhan Setianita Pitas yang juga Ahli Jawatankuasa Sukan Mutiara GRS Negeri Sabah, Datin Seri Asiah Udian, Pengarah Bomba Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, Timbalan Pengarah Bomba Sabah, Ts. Farhan Sufyan Borhan, Presiden Shotokan Karate Association of Sabah (SKAS), Simon Chia dan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton antara penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).
Dalam pada itu, seramai 57 penerima darjah Bintang Setia Kinabalu (BSK) dan antaranya ialah Pegawai Aduan Rakyat DUN (Dewan Undangan Negeri) Kapayan, Kenneth Wong Min Tet dan penerima darjah Bintang Kinabalu (BK) Pegawai Bomba Kanan I, Haris Mustapha, Pegawai Bomba Tinggi II Emran Idris dan Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat), Amirah Syaura Rabusah.
Selain itu, Tun Juhar turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) seramai 21 individu dan antara penerima ialah Pegawai Penerangan JAKOM, les Janraein Suhaili dan ahli perniagaan, Aznarul Izam A. Zamlee.
Hadir sama pada istiadat itu adalah Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dan para tetamu jemputan khas. — JABATAN PENERANGAN SABAH