KOTA KINABALU, SABAH – Suasana kegembiraan yang berlangsung ketika ini berhubung pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini bahawa kebenaran rentas negeri dibenarkan bermula esok (11 Okt) masih belum terjadi lagi kepada rakyat Sabah selepas keputusan di peringkat kerajaan negeri masih samar berhubung perkara berkenaan.
Ini selepas Kerajaan Negeri Sabah dalam satu kenyataan petang tadi memaklumkan akan membuat keputusan sama ada membenarkan pergerakan rentas negeri seperti diputuskan kerajaan Pusat selepas mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu (13 Okt) ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Negeri Sabah akan mengemukakan cadangan mengenai perkara itu untuk dibincang dalam mesyuarat jemaah menteri.
“Pendirian Kerajaan Negeri akan diumumkan pada hari Rabu selepas Mesyuarat Kabinet,” kata Masidi.
Masidi yang juga Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah berkata, cadangan itu akan mengambil kira situasi semasa di Sabah termasuk pertimbangan mengenai pencapaian program imunisasi COVID-19 yang kini baru mencapai 65 peratus (65%) penduduk dewasa lengkap vaksin berbanding 90 peratus (90%) di peringkat nasional.
“Kita mengambil kira peratusan penduduk dewasa di Sabah yang sudah memperoleh vaksin lengkap belum sampai kepada 90 peratus iaitu hanya sekitar 65 peratus pada hari ini…
“Ia adalah prasyarat yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan untuk membolehkan rentas negeri tanpa perlu permit polis dibenarkan,” katanya yang mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi.

Tambahnya, kebebasan merentas daerah tanpa permit polis hanya dibenarkan kepada LIMA (5) zon masing-masing seperti berikut:
Zon 1 – Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud.
Zon 2 – Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.
Zon 3 – Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran.
Zon 4 – Lahad Datu dan Kunak.
Zon 5 – Keningau, Tambunan dan Tenom.