KUALA LUMPUR – Pasangan beregu muda wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah membuat satu kejutan apabila muncul juara Terbuka Switzerland di Basel, hari ini (Ahad).
Beraksi di St Jakobshalle Basel dengan tanpa sebarang tekanan apabila tidak diletakkan selaku pemain pilihan, pasangan itu berjaya menumpaskan pilihan ketiga kejohanan dan ranking ke-14 dunia dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 dalam tempoh 43 minit.
Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-30 dunia mempamerkan aksi berkualiti dan penuh yakin di Set Pertama apabila mendahului Gabriela-Stefani hampir keseluruhan permainan namun goyah seketika selepas lawan mendahului 19-17.

Pada Set Kedua, mereka mendahului permainan 6-2 sebelum pasukan lawan mereka bangkit untuk menjadikan kedudukan 10-10.
Walau bagaimanapun, gandingan muda negara itu akhirnya berjaya menemui rentak kemenangan untuk menamatkan permanan 21-12 bagi mengesahkan kejuaraan pertama mereka di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300.