KOTA KINABALU, SABAH – Seorang kakitangan kilang plastik di daerah Kota Kinabalu dikenal pasti sebagai punca wujudnya kes indeks Kluster Industri Inanam yang dilaporkan di Sabah, kelmarin (Ahad).
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu itu mencatatkan 11 kes positif COVID-19.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes. Kes indeks adalah kakitangan kilang plastik yang dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Inanam, pada 27 Februari lalu…
“Hasil saringan kontak rapat terhadap 139 individu, 20 kes didapati positif termasuk 11 kes baharu pada hari ini. Semua kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Sabah kelmarin mencatatkan 99 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif 53,486 kes dan tiada kes kematian dilaporkan.
“Jumlah pesakit yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 92 orang menjadikan jumlah kumulatif 52,161 orang…
“Sementara pesakit yang sedang menerima rawatan merangkumi 629 orang iaitu 225 orang di hospital, 402 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya.
Mengenai status vaksinasi di Sabah, Masidi berkata seramai 3,545 orang menerima suntikan vaksin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 9,403 orang.