SAINTIS TEMUI PENEMUAN MUTASI VARIAN BAHARU COVID-19 DIGELAR DELTACRON

SAINTIS TEMUI PENEMUAN MUTASI VARIAN BAHARU COVID-19 DIGELAR DELTACRON

0
SHARE

CYPRUS – Saintis di Cyprus dua hari lalu menggemparkan dunia dengan penemuan mutasi varian COVID-19 Omicron dan Delta yang digelar sebagai ‘Deltacron’.

Profesor sains biologi di Universiti Cyprus, Leondios Kostrikis, mendakwa beliau dan pasukannya setakat ini menemui 25 kes virus tersebut.

Bloomberg melaporkan bahawa penemuan itu telah dihantar kepada GISAID pada 7 Januari iaitu sebuah pangkalan data antarabangsa yang menjejak perubahan dalam virus itu.

Menurut Leondios, ianya masih terlalu awal untuk berkata sama ada terdapat lebih banyak kes varian baru itu mahupun kesannya terhadap kesihatan manusia.

Seperti yang diketahui, kedua-dua varian secara tunggal mempunyai ciri-ciri kadar jangkitan pantas dan varian Delta khusnya menyebabkan gejala teruk.

Namun pakar kesihatan dari seluruh dunia membidas penemuan Leondios dan berkata ia sebagai kesilapan dalam pemprosesan makmal akibat pencemaran spesimen.

The Independent melaporkan Dr Tom Peacock dari Imperial College London sebagai berkata ‘Deltacron’ Cyprus yang dilaporkan kelihatan jelas sebagai pencemaran.

“Spesimen tidak berpokok filogenetik dan penjujukan Delta digunakan untuk varian Omicron…

“Penjujukan varian jenis Delta dengan mutasi pelik bukan perkara yang baru dan jawapannya selalu adalah pencemaran biarpun sedikit dengan spesimen lain,” katanya di laman Twitter.

Pakar kesihatan, Dr Boghuma Kabisen Titanji, mempunyai pendapat yang sama sambil menambah dengan pelbagai varian baharu yang ditemui begitu juga dengan penggabungan semula varian.

“Perkara terbaik yang kita boleh lakunan selain bimbang dan mencipta nama varian baharu seakan watak jahat dari filem Transformers, adalah memastikan vaksin tersedia untuk semua serta mencari strategi yang mengehadkan peluang jangkitan virus,” katanya.

Tapi Dr Kostrikis terus berkeras dengan penemuannya dan memberitahu Bloomberg pada Isnin beliau telah mengenal pasti bahawa mutasi itu bukannya hasil daripada penggabungan semula varian ataupun kesilapan di makmal.

“Saya dan pasukan telah memproses sampel dari pelbagai negara dan sekurang-kurangnya satu kes dari negara Israel menunjukkan ciri-ciri Deltacron,” katanya.