Hilang Selepas Perlanggaran Bot di Seafest Semporna, Rosman Ditemui Maut Hari Ketiga...

Hilang Selepas Perlanggaran Bot di Seafest Semporna, Rosman Ditemui Maut Hari Ketiga SAR

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terlibat dalam insiden perlanggaran dua bot penumpang di perairan Seafest, Semporna pada 9 Januari lalu, ditemui meninggal dunia pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), pagi Ahad.

Mangsa, Rosman Bin Kandau, 24, dipercayai terjatuh ke laut susulan perlanggaran dua bot sekitar jam 8 pagi hari kejadian. Dalam insiden itu, tujuh individu terlibat membabitkan lima mangsa di bot pertama dan dua di bot kedua, dengan enam daripadanya dilaporkan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna, Mohd Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar jam 3.30 petang pada hari kejadian sebelum operasi SAR digerakkan bersama agensi lain.

“Operasi SAR diteruskan hingga hari ketiga dengan radius pencarian diperluaskan menggunakan aset sedia ada termasuk bot dan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa ditemui oleh orang awam pada jam 8.37 pagi sebelum pasukan SAR bergerak ke lokasi dan membawa mangsa ke Jeti Marin untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 pagi selepas mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia.

Dalam operasi berkenaan, seramai enam anggota bomba daripada BBP Air Semporna terlibat dengan bantuan APMM, PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).