SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera selepas kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dipandunya terbabas dan terbalik sendiri dalam kemalangan di Jalan Raya Utama Batu 3, berhampiran Sekolah St Mary, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.08 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi dan tiba dua minit kemudian.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas dan terbalik tanpa melibatkan kenderaan lain.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA). Mangsa didapati sedar ketika dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS bagi rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama pada awal pagi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.






