PAPAR – Sabah akan memiliki sebuah ibu pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Sabah yang baharu apabila sebuah projek untuk membina Kompleks Mahkamah Syariah Sabah di Teluk Likas, yang dijangka memulakan pembinaannya Ogos ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut, ketika mendedahkan perkara itu, berkata projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan bernilai RM67.8 juta akan dibina di atas sebidang tanah bersebelahan Masjid Bandaraya di Teluk Likas yang akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.
Beliau berkata projek itu yang telahpun ditawarkan melalui tender terlewat beberapa tahun disebabkan isu-isu teknikal membabitkan pemasangan kabel bawah tanah untuk bekalan elektrik bagi kompleks tersebut.
“Pada mulanya, projek itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan masalah-masalah teknikal yang kami telah jelaskan kepada Kerajaan Negeri melalui Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
“Beliau tidak gembira mendengar kelewatan dalam membina kompleks itu tetapi kami telah sampaikan kepadanya bahawa masalah teknikal sedia ada perlu ditangani terlebih dahulu sebelum ia boleh dibina.
“Kami serius untuk membina kemudahan seperti itu untuk Mahkahmah-Mahkamah Syariah dalam negara ini termasuk Sabah agar ia sejajar dengan usaha-usaha untuk meningkatkan imej kehakiman Islamik,” katanya.
Ibrahim berkata demikian kepada wartawan sempena lawatan kerja khasnya ke Mahkamah Syariah Papar pada hari Selasa baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) merangkap Adun Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, Hakim Mahkamah Syariah Sabah, Datuk Jasri Mat Jakir, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Dr Md Yusop Che dan pegawai-pegawai kanan yang lain.
Projek itu akan melibatkan pembinaan tiga Mahkamah Rendah Syariah, dua Mahkamah Tinggi Syariah dan sebuah Dewan Rayuan Syariah, sebuah dewan mesyuarat, bilik untuk pendaftar mahkamah dan pegawai kanan, sebuah perpustakaan dan sebuah pusat IT, antara lain.
Selain membina kompleks itu, Ibrahim yang juga Ketua Hakim Syariah Malaysia berkata jabatan itu juga telah membina mahkamah-mahkamah Syariah di Semporna, Keningau, Beaufort, Lahad Datu dan Kinabatangan.
– H.Ekspress