PPNS, Multisupply Meterai MoU Perluas Pasaran Baja Organik di Sabah

PPNS, Multisupply Meterai MoU Perluas Pasaran Baja Organik di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menjalin kerjasama strategik dengan Multisupply Enterprise Sdn Bhd bagi memperluas pemasaran baja ikan organik menerusi rangkaian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan komuniti petani di seluruh Sabah.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Timbalan Pengerusi PPNS, Datuk Ng Loi Tect dan Pengarah Multisupply Enterprise Sdn Bhd, Chia Sia Theng, pada satu majlis di sini, pada Rabu.

Majlis berkenaan disaksikan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah, Fitrisubroto Haji Yahmin; Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah serta Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memperkenalkan dan mempromosikan produk baja organik dikenali sebagai HydroManis melalui rangkaian serta saluran perniagaan PPNS.

Usaha berkenaan turut merangkumi penganjuran taklimat, demonstrasi produk dan perkongsian maklumat bagi meningkatkan penerimaan baja organik dalam kalangan petani.

HydroManis merupakan baja berasaskan Asid Amino Ikan (FAA) yang dihasilkan menggunakan 100 peratus bahan organik termasuk ikan dan molases serta diproses di kilang Multisupply Enterprise Sdn Bhd di Labuan.

Menurut syarikat itu, produk berkenaan berpotensi membantu meningkatkan hasil tanaman, membekalkan nutrien serta memperbaiki kesihatan tanah, di samping menyokong amalan pertanian lestari.

Melalui persefahaman tersebut, PPNS akan membantu memperkenalkan produk berkenaan kepada ahli peladang dan komuniti pertanian, selain meneroka peluang pemasaran menerusi program serta saluran perniagaannya.