Virus ASF Telah Menular Ke Daerah Lain Di Sabah

Virus ASF Telah Menular Ke Daerah Lain Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Virus Demam Babi Afrika (ASF) kini telah menular ke beberapa daerah lain dan bukan hanya menjangkiti babi peliharaan tetapi juga babi hutan liar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata virus itu dikesan dikalangan babi domestic di Kota Marudu dan Pitas serta babi hutan di Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

“Ini termasuk kes kematian seekor babi hutan di sebuah resort di daerah Kinabatangan yang telah tular di media sosial minggu lalu,” katanya.

Namun begitu, kata beliau ladang babi komersil di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang yang membekalkan kebanyakan produk babi di Sabah masih bebas daripada virus ASF.

“Kita harus memastikan kawasan-kawasan ini bebas ASF supaya pengeluaran daging babi tempatan tidak terjejas…

“Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, ia berupaya melakukan kerosakan ekonomi serta mengganggu kesejahteraan masyarakat.

“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk mengawal serta membasmi penyakit ini,” katanya.

Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata kerajaan akan membuat deklarasi wabak penyakit ASF di daerah yang telah dikesan virus ASF secepat mungkin mengikut Enakmen Haiwan 2015.

Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan…

Deklarasi ini, yang akan dibuat oleh ketua pentadbir daerah dan perbandaran, akan memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk melakukan Tindakan kawalan yang berkesan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Populasi babi di kawasan di mana virus ASF dikesan akan dihapuskan dan dilupuskan serta disinfeksi kawasan akan dilakukan, bermula dari pusat jangkitan (epicentre).

Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) akan membantu menyelaraskan usaha-usaha mengawal penyebaran virus ASF dari babi hutan ke babi komersil dengan menangguhkan lesen memburu dan melarang penjualan ‘sinalau bakas’ seperti dalam kenyataan sebelum ini.

“Kita juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis Penyakit ASF yang dipengerusikan oleh Pengarah DVS…

“Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh SWD, pasukan keselamatan, wakil-wakil dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, wakil dari Pejabat Peguam Besar Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Jawatankuasa ini akan merangka dasar yang perlu bagi mengawal dan seterusnya membasmi ASF di Sabah secepat mungkin,” katanya.

Setakat ini, Kitingan berkata sebanyak 110 babi dari 9 buah kampung di dalam zon jangkitan ASF telah dihapus dan dilupus.

DVS juga telah menjalankan kempen kesedaran di 54 daripada 182 buah kampung di Pitas.

Setakat hari Sabtu, sebanyak 347 jumlah sampel telah dikutip daripada pelbagai daerah bagi mengesan kehadiran virus ASF di seluruh Sabah.