Khemah Pernah Diterbangkan Angin, Nasi Lemak Tengah Malam Kini Buka Restoran Pertama

Khemah Pernah Diterbangkan Angin, Nasi Lemak Tengah Malam Kini Buka Restoran Pertama

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pernah berdepan detik mencemaskan apabila khemah diterbangkan angin kencang sehingga menyebabkan anggota pasukan cedera ketika berniaga di kawasan terbuka, pengalaman itu menjadi antara cabaran paling sukar yang ditempuhi pengasas Nasi Lemak Tengah Malam sebelum akhirnya berjaya membuka restoran pertama mereka, semalam.

Pengasasnya, Juan, 33 berkata, pembukaan restoran berkenaan menandakan satu pencapaian besar selepas melalui perjalanan selama satu tahun tujuh bulan sejak memulakan perniagaan secara kecil-kecilan menggunakan trak di kawasan parkir E-Mart, Kepayan.

Menurutnya, konsep asal Nasi Lemak Tengah Malam mengetengahkan jualan makanan jalanan (street food) secara bungkus dan bawa pulang sebelum berpindah ke Tugu Peringatan Petagas selepas enam bulan beroperasi berikutan beberapa isu.

“Kami tidak pernah berhenti berniaga. Selepas enam bulan di E-Mart, keesokan harinya kami terus berpindah ke Tugu Peringatan Petagas tanpa mengambil cuti. Hari ini, selepas satu tahun tujuh bulan, kami berjaya membuka restoran pertama kami. Perjalanan ini melalui tiga fasa iaitu daripada street food, gerai dan kini restoran,” katanya ketika ditemui media sempena pra-pelancaran restoran berkenaan, di sini, pada Jumaat.

Mengimbau detik paling mencabar sepanjang membangunkan perniagaan itu, Juan berkata berniaga di kawasan terbuka banyak mengajarnya tentang erti ketabahan, terutama apabila berdepan cuaca yang tidak menentu.

“Industri F&B memang sangat mencabar. Kami berniaga di luar, jadi apabila musim hujan atau angin kuat, khemah boleh terbang dan ada anggota pasukan yang cedera. Semua itu menjadi pengalaman yang mematangkan kami,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan restoran membawa cabaran baharu apabila kos operasi meningkat berikutan keperluan menyediakan premis, utiliti dan kemudahan yang lebih lengkap, menyebabkan harga makanan dinaikkan sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding ketika berniaga di gerai.

Restoran berkenaan kini beroperasi dari jam 7 pagi hingga 1 pagi dan pihaknya merancang untuk beroperasi 24 jam sekiranya sambutan pelanggan pada waktu malam terus menggalakkan dalam tempoh dua bulan pertama.

“Kami akan menilai sambutan pelanggan terlebih dahulu. Jika permintaan pada waktu malam tinggi, kami bercadang menjadikan restoran ini beroperasi 24 jam,” katanya.

Juan berkata, kejayaan membangunkan jenama Nasi Lemak Tengah Malam turut diperkukuh melalui gabungan kepakaran beliau dalam bidang pengurusan perniagaan dan isterinya yang memiliki Diploma Seni Kulinari.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang membuka tiga cawangan menjelang 2031 selain membina sebuah ‘central kitchen’ yang mendapat pensijilan halal.

“Kami juga mahu membangunkan industri pemprosesan santan di Sabah. Bahan mentah kita ada, tetapi kepakaran itu perlu dibangunkan. Hasrat kami bukan sekadar menjual nasi lemak, malah menghasilkan jenama santan Sabah yang mampu dipasarkan ke Sarawak, Brunei dan pasaran lain,” katanya.

Menurut Juan, keistimewaan Nasi Lemak Tengah Malam terletak pada penggunaan santan dengan nisbah yang lebih tinggi berbanding kebanyakan, namun formula sebenar kekal menjadi rahsia mereka.

“Kami tidak boleh dedahkan formulanya kerana itu rahsia kami. Apa yang boleh saya katakan, nasi lemak kami menggunakan nisbah santan yang lebih tinggi. Selebihnya, orang ramai perlu datang sendiri dan merasai perbezaannya,” katanya.

Pembukaan restoran pertama Nasi Lemak Tengah Malam bukan sekadar mencerminkan perkembangan sebuah jenama tempatan, malah menjadi bukti bahawa kesungguhan, keberanian menghadapi cabaran dan keazaman untuk tidak mudah berputus asa mampu mengubah sebuah gerai makanan jalanan menjadi sebuah perniagaan yang terus berkembang.