COLOMBO, SRI LANKA – Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berkata kepada Parlimen bahawa negara itu dijangka alami ‘MUFLIS’ berlarutan sehingga penghujung tahun depan akibat daripada krisis ekonomi terburuk yang melanda negara berkenaan.
Negara kepulauan berpenduduk kira-kira 22 juta itu mengalami kadar inflasi tinggi dan pemotongan bekalan elektrik berpanjangan selepas kerajaan kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan keperluan penting.
Wickremesinghe yang dipetik Berita Harian berkata, Sri Lanka yang dahulunya makmur akan mengalami kemelesetan ekonomi teruk tahun ini serta menghadapi krisis kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan secara berterusan, lapor agensi berita CNA.
“Kita juga perlu mengharungi kemelesetan ini sehingga ke tahun depan. Ia adalah benar dan ini adalah realiti,” katanya.
Kadar inflasi negara mencecah 54.6 peratus pada bulan lalu ketika negara Lautan Hindi itu menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad dan bank pusat negara itu dijangka menaikkan kadar inflasi pada pengumuman dasar pada Khamis ini untuk mengekang kenaikan harga.
Wickremesinghe berkata, Sri Lanka sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi memuktamadkan pelan penstrukturan semula hutang dengan pemiutang itu menjelang Ogos.
“Kami kini berunding sebagai negara muflis. Jadinya, kita perlu menghadapi situasi yang lebih sukar dan rumit berbanding rundingan sebelum ini,” katanya.
Meskipun penggantungan pembayaran balik hutang asing berjumlah kira-kira AS$12 bilion (RM53.03 bilion) pada April, Wickremesinghe berkata, Sri Lanka masih mempunyai tunggakan hampir AS$21 bilion (RM92.81 bilion) sehingga akhir 2025.
Katanya, Sri Lanka berdepan halangan yang kuat dengan bank pusat negara itu menganggarkan penguncupan dalam pertumbuhan empat hingga lima peratus tahun ini, dengan inflasi mencecah 60 peratus menjelang akhir tahun, walaupun kerajaan menyasarkan penguncupan lebih kecil sebanyak satu peratus dalam pertumbuhan tahun hadapan.
“Selepas mencapai persetujuan peringkat kakitangan dengan IMF, Sri Lanka berhasrat untuk mengadakan persidangan penderma dengan ‘negara mesra’ seperti China, India dan Jepun untuk mendapatkan lebih banyak pinjaman melalui ‘perjanjian bersama’,” kata Wickremesinghe pada sidang Parlimen.
Minggu lalu, IMF berkata rundingan dengan Sri Lanka adalah ‘konstruktif’, meningkatkan harapan bahawa tidak lama lagi ia akan memberikan kelulusan awal untuk pakej sokongan kewangan yang sangat diperlukan.
Sri Lanka kini hampir kehabisan petrol sepenuhnya dan kerajaan memutuskan menutup perkhidmatan awam yang tidak penting dalam usaha untuk menjimatkan bahan api.
Minggu ini, pihak berkuasa melanjutkan penutupan sekolah, memberitahu penjawat awam bekerja dari rumah dan mengehadkan pengagihan bahan api kepada perkhidmatan penting ketika negara bergelut untuk membayar penghantaran bahan api baharu.
Krisis itu berlaku selepas COVID-19 menjejaskan ekonomi yang bergantung kepada pelancongan dan mengurangkan kiriman wang daripada pekerja luar negara.
Ia ditambah lagi dengan pengumpulan hutang kerajaan yang besar, kenaikan harga minyak dan larangan import baja kimia tahun lalu yang memusnahkan sektor pertanian.