Tentera Rusia Dakwa Musnahkan Sistem Peluru Berpandu S-300P Ukraine

Tentera Rusia Dakwa Musnahkan Sistem Peluru Berpandu S-300P Ukraine

0
SHARE
Gambar Hiasan...

KIEV, UKRAINE – Tentera Rusia mendakwa telah memusnahkan sebuah sistem peluru berpandu S-300P milik negara Ukraine.

Menurut laporan berita tempatan Rusia, serangan ke atas sistem peluru berpandu tersebut merupakan serangan yang berketepatan tinggi.

Perkara tersebut didedahkan oleh, Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia Igor Konashenkov.

“Tentera peluru berpandu telah menghapuskan sistem senjata pertahanan udara S-300,” katanya.

Sementara itu, satu video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan kedudukan sistem peluru berpandu S-300PS mudah alih yang musnah dan terbakar serta serpihannya yang bertaburan setelah terkena tembakan tepat tersebut.

Rakaman itu turut memaparkan pos arahan dan kenderaan pemunggah terbakar serta menara sistem yang rosak.

Menurut jurucakap itu, sejak 24 jam lalu, penerbangan dan pertahanan udara Rusia juga telah menjatuhkan empat pesawat Su-27 dan satu MiG-29 berhampiran Zhitomir, satu Su-27 dan satu pesawat Su-25 berhampiran Radomyshl, satu pesawat Su-25. berhampiran Nezhin dan dua helikopter Mi-8 berhampiran Kiev. Secara keseluruhannya, enam dron telah dihapuskan dalam tempoh 24 jam yang lalu, termasuk satu Bayraktar TB2.

Pada Rabu lalu, jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov berkata, sebanyak 124 pesawat dan 77 helikopter, 321 dron, 214 sistem peluru berpandu antipesawat dan 1,750 kereta kebal serta kenderaan berperisai telah musnah sejak pelancaran operasi ketenteraan khas Tentera Rusia dilakukan.

Tentera Rusia menyerang Ukraine atas arahan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada 24 Februari lalu.