Deretan Kedai Dua Tingkat di Semporna Hangus, MR DIY, Klinik Pergigian Turut...

Deretan Kedai Dua Tingkat di Semporna Hangus, MR DIY, Klinik Pergigian Turut Terjejas

0
SHARE

SEMPORNA: Sebuah kebakaran besar melibatkan tiga deretan kedai dua tingkat milik MR DIY di Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Menurut Komander Operasi, PBK I Mohd Shukri Mohd Hamsah, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.53 petang melalui MERS999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna bergegas ke lokasi pada jam 6.01 petang.

Lokasi kejadian berada kira-kira 5 kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan keseluruhan bangunan MR DIY berkeluasan 60×30 kaki yang musnah hampir 90 peratus. Sebuah klinik pergigian di tingkat atas turut terbakar kira-kira 50 peratus dengan keluasan 20×30 kaki,” katanya.

Operasi pemadaman berdepan kesukaran ekoran tekanan pili bomba yang rendah. Pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan berbekalkan sumber air dari jentera, pili bomba, lori tangki Jabatan Air Sabah, serta sumber terbuka dari parit berhampiran.

Lori tangki milik Jabatan Air Sabah tiba di lokasi pada jam 8.30 malam untuk membantu membekalkan air tambahan.

Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.19 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.52 tengah malam.

Seramai 49 anggota terlibat dalam operasi tersebut yang terdiri daripada BBP Semporna: 28 anggota, BBP Air Semporna: 15 anggota, dan BBP Kunak: 6 anggota

Turut membantu adalah beberapa agensi lain termasuk PDRM (10 anggota), Jabatan Air Sabah (2 anggota), SESB (6 anggota) dan APM (3 anggota).

Logistik operasi melibatkan dua jentera FRT dengan 14 anggota, sebuah unit EMRS dengan 4 anggota, sebuah kenderaan Vigo dengan 4 anggota, serta 27 anggota menggunakan kenderaan sendiri.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.