Kontinjen Negara Sasar 3 Pingat Emas Dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Kontinjen Negara Sasar 3 Pingat Emas Dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kontinjen negara yang akan berkasi dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 meletakkan sasaran TIGA (3) pingat emas agar dapat mengulangi semula pencapaian pada lima tahun lalu Paralimpik Rio 2016.

Memetik laporan BH Online, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mewakili menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan sasaran tersebut dalam satu Majlis Pengukuhan Kontinjen Paralimpik ke Tokyo dan Penghargaan Penaja yang diadakan secara maya, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal, berkata lima atlet iaitu dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badmiton para, Cheah Leik Hou; atlet memanah, S Suresh dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin antara yang dilihat berpotensi bagi merealisasikan sasaran berkenaan di Tokyo nanti.

“Kalau saya boleh saya beri sedikit bayangan, kita ada lima atlet yang berkedudukan baik di peringkat dunia dalam kategori masing-masing…

“Ziyad berada di kedudukan ranking nombor dua dunia, Abdul Latif nombor dua dunia, Bonnie yang mencipta sensasi di Dubai di ranking nombor satu dunia manakala Suresh di nombor kelima dunia. Kelima-lima atlet ini di kedudukan terbaik untuk bersaing di Tokyo nanti.

“Kita harap mereka boleh menunjukkan prestasi yang cemerlang dan membawa pulang pingat untuk kita. Namun, atlet-atlet lain juga diharap dapat mencipta kejutan,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia yang juga ketua kontinjen negara ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selain Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

Sebagai rekod, pada edisi Rio 2016, kontinjen para negara berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.

Emas disumbangkan Ziyad dalam acara lontar peluru (T20/F20), Abdul Latif (lompat jauh T20/F20) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter T36/F36) manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20/F20).

Seramai 22 atlet termasuk empat alet wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo yang bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.

Sebagai rekod, Malaysia yang mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan telah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.

Kumpulan pertama kontinjen negara para negara akan berlepas ke Tokyo pada 17 Ogos ini.

SENARAI ATLET;

Olahraga: 
Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zokefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Wong Kar Gee, Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin

Berbasikal: 
Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Muhammad Hafiz Jamali, Zuhairie Ahmad Tarmizi, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, Nurul Suhada Zainal

Renang: 
Brenda Anelia; Muhammad Nur Syaiful Zulkefli, Jamery Siga

Memanah: 
S Suresh, Wiro Julin

Badminton: 
Cheah Liek Hou, Didin Terasoh

Boccia:
Chew Wei Lun

Powerlifting: 
Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie

Ping Pong: 
Chee Chaoming

Tenis Kerusi Roda: 
Abu Samah Borhan