Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu Tahan 5 Lelaki Disyaki Pengebom Ikan

Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu Tahan 5 Lelaki Disyaki Pengebom Ikan

0
SHARE
Anggota PPM menahan lima lelaki dan merampas peralatan yang disyaki digunakan sebagai bom ikan...

KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya menahan LIMA (5) lelaki disyaki sebagai pengebom ikan di kawasan Selatan Pulau Mengalum pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, ASP Roslan Awang berkata sepasukan anggota membuat pemeriksaan ke atas dua (2) buah bot nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan jam 11.05 pagi itu menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan dan juga 60 kilogram pelbagai jenis hasil tangkapan ikan,” katanya dalam sebuah keyataan.

Antara peralatan yang ditemui termasuk satu (1) unit ‘detonator’, botol dipercayai baja ammonium nitrate, dan dua (2) gulung hos yang merupakan komponen bagi bom ikan.

“Suspek berumur antara 21 hingga 52 tahun terus ditahan dan bot bersertakan peralatan dan ikan turut dirampas…

“Kesemua suspek dan rampas dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan malam tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan sementara nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 67,300.

“PPM Wilayah 4 Sabah menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp di nombor ‘013-9391197’ bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” tambah Roslan.