Majlis Keagamaan Punca Tercetusnya Kluster Batu Linting Di Kuala Penyu

Majlis Keagamaan Punca Tercetusnya Kluster Batu Linting Di Kuala Penyu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kluster Batu Linting di Kuala Penyu yang dikesan semalam (Khamis) melibatkan penularan virus COVID-19 yang disyaki berpunca daripada majlis keagamaan.

Jurucakap Perkembangan COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kes indeks merupakan seorang wanita 34 tahun yang dikesan positif dalam saringan bergejala di Hospital Kuala Penyu.

“Saringan kontak menunjukkan wujud pertambahan kes positif susulan saringan kontak rapat serta kontak sosial berkait rapat dengan majlis keagamaan yang diadakan di rumah kes indeks pada 31 Julai…

“Daripada 45 sampel yang diambil, terdapat 29 kes positif termasuk LAPAN (8) kes baharu hari ini yang dikesan di Kampung Batu Linting, Kampung Mansud, Kampung Bundu dan Kampung Kupang,” katanya.

kelmarin (Khamis) turut melihat jumlah kes harian tertinggi COVID-19 bagi Sabah dengan 2,052 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut melaporkan seramai 28 orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 pada Khamis.

Lapan (8) kes berlaku di Kota Kinabalu, enam (6) di Tawau, empat (4) di Tuaran, tiga (3) di Sandakan, dua (2) di Kuala Penyu sementara Putatan, Keningau, Sipitang, Penampang dan Beluran masing-masing mencatat satu (1) kes.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 12 Ogos 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Daripada jumlah keseluruhan itu, 185 individu yang disahkan positif telah lengkap kedua dos mereka dan turut dilaporkan seramai 22 bayi juga dijangkiti virus berkenaan.

Dalam pada itu LIMA (5) kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 sehingga 27 Ogos.

“Ini termasuk dua (2) lokaliti di Keningau, Sabah iaitu Kilang dan Kuarters Pekerja Bumi Timber Sdn. Bhd, Batu 27 dan Perusahaan dan Kuarters Pekerja Kosinar Sdn.Bhd., Batu 28, Jalan Sook…

“Taman Puri Warisan di Kota Kinabalu, Kampung Pengiran di Sipitang dan Kampung Wokok Kinuta di Kota Belud,” kata Masidi.

Sedang Sabah masuk ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pergerakan merentah daerah tetap tidak dibenarkan.

“Ini kecuali kes kecemasan seperti perubatan, kematian, atau bencana alam dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM)…

“Laluan keluar masuk rentas daerah ditutup dan dikawal oleh PDRM. Namun begitu, urusan tugas rasmi kerajaan adalah dibenarkan dengan menunjukkan dokumen surat majikan dan surat arahan penugasan,” jelasnya.

Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga melarang sebarang aktiviti sosial diadakan pada mana-mana premis makan.

“Semua premis makanan hanya dibenarkan untuk menjual makanan atau ‘dine-in’sahaja…

“Sebarang aktiviti sosial ‘poolbar’, majlis atau aktiviti yang menyebabkan perkumpulan adalah tidak dibenarkan.

“Pemilik premis makanan perlu memastikan pelanggan dan pekerja yang telah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dibenarkan memasuki premis,” katanya.