Kes Baharu Positif COVID-19 Di Sabah Tinggi, Tetapi Kadar Penularan Masih Terkawal...

Kes Baharu Positif COVID-19 Di Sabah Tinggi, Tetapi Kadar Penularan Masih Terkawal – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Angka kes di Sabah amat tinggi tetapi kadar penularan masih terkawal, demikian kata Jurucakap COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau merujuk kepada 2,052 KES baharu Sabah hari ini, angka yang digelarnya sebagai menggerunkan.

“Hari ini mencatatkan angka tertinggi kes COVID-19 di Sabah dan mungkin ada yang mengatakan kita sudah gagal membendung penularan di negeri ini…

“Kalau sekadar melihat angka semata-mata mungkin kesimpulan itu ada asasnya,” kata beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Katanya hari ini juga melihat kenaikan ketara kes di hampir semua negeri dalam Malaysia malah di banyak negara di dunia.

“Jumlah kes seluruh negara hari ini ialah 21,668, satu rekod baharu…

“Hakikatnya kita sedang berhadapan dengan gelombang baharu jangkitan COVID-19, kali ini dengan varian yang lebih merbahaya & lebih cepat merebak.

“Memang diakui ini antara angka tertinggi dikalangan negeri-negeri di Malaysia dan Sabah adalah negeri keempat yang tertinggi,” katanya lagi.

Menurutnya, jika beralih kepada kiraan kadar jangkitan mengikut nisbah jumlah penduduk mungkin satu kaedah kiraan yang lebih tepat bagi menentukan tahap penularan dan jangkitan di kalangan penduduk.

Berikut adalah kadar jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk negeri Malaysia berdasarkan maklumat untuk Khamis (12 Ogos):

Selangor – 96 kes
Kuala Lumpur – 137 kes
Johor – 45 kes
Sabah – 52 kes
Sarawak – 43 kes
Negeri Sembilan – 79 kes
Kedah – 110 kes
Pulau Pinang – 69 kes
Kelantan – 50 kes
Perak – 37 kes
Melaka – 52 kes
Pahang – 37 kes
Terengganu – 47 kes
Labuan – 11 kes
Putrajaya – 49 kes
Perlis – 9 kes

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Malaysia setakat 12 Ogos 2021…(Sumber Foto: CPRC Kebangsaan, KKM)

“Jumlah kes baharu di Sabah hari ini lebih tinggi daripada Negeri Sembilan iaitu 899 kes dan Pulau Pinang dengan 1,299 kes hampir lima (5) kali ganda lebih tinggi daripada negeri Melaka…

“Tetapi kadar penularan di Sabah lebih rendah jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Kadar jangkitan juga sama dengan Melaka yang hampir sama dengan Kelantan walaupun kes di Sabah lebih dua kali ganda lebih tinggi daripada Kelantan.

“Sabah juga hampir separuh lebih rendah daripada Kedah walaupun negeri itu cuma 91 kes lebih tinggi daripada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi terus mengingatkan penduduk Sabah agar bersama menjaga diri dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) selain memastikan untuk mendapatkan vaksin.