KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah jangkitan baharu semalam (Khamis) kekal sebagaimana angka hari sebelumnya, iaitu 57 kes.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, secara keseluruhan, tidak banyak perubahan berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Sebanyak 10 daerah merekodkan penurunan jangkitan harian berbanding lapan (8) daerah yang mencatatkan pertambahan jumlah kes baharu…
“Sembilan (9) daerah kekal sebagaimana angka catatan semalam manakala jumlah daerah yang tidak merekodkan sebarang kes baharu kekal 10,” katanya dalam laporan kes harian.
Sebanyak 16 daerah mencatat jangkitan baharu satu angka dengan 10 daripadanya mencatatkan 1 atau 2 kes baharu sahaja.
“Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 21 kes iaitu pertambahan tiga (3) kes berbanding angka jangkitan semalam,” beliau berkata.
Kesemua 57 orang pesakit baharu berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2 sahaja iaitu tidak bergejala atau memerlukan rawatan khusus.
Katanya, terdapat tiga (3) kes import iaitu dua (2) orang daripada Kuala Lumpur dan seorang dari Kelantan.





