KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan bahawa ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, telah menolak permintaan untuk menjalankan proses bedah siasat sebanyak dua kali pada 17 Julai lalu kerana mahu segera menguruskan pengebumian anaknya.
Saifuddin berkata, ibu mangsa, Noraidah Lamat, telah ditemui oleh pegawai penyiasat serta doktor bertugas yang menjelaskan keperluan bedah siasat, namun beliau tetap dengan pendirian untuk menolak prosedur itu.
“Pegawai penyiasat berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan mengenai keperluan bedah siasat. Namun ibu mangsa menyatakan dia mahu segera kebumikan anaknya kerana anak sudah cukup derita.
“Doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat juga sekali lagi menemui ibu, tetapi beliau tetap dengan keputusan sama,” katanya pada sesi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Memetik Berita Harian, Saifuddin menjelaskan, walaupun keputusan itu dibuat oleh ibu mangsa sendiri, pihak polis mengakui terdapat ketidakpatuhan prosedur kerana Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) menetapkan bedah siasat perlu dilaksanakan dalam kes kematian seumpama ini.
Menurut Saifuddin, Noraidah kemudiannya menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat dengan disaksikan oleh kakak iparnya.
“Dokumen semua lengkap dan direkodkan secara sah. Pegawai penyiasat ketika itu menghormati keputusan ibu, namun tindakan ini tetap dianggap tidak patuh kepada prosedur, dan polis akan mengambil tindakan dalaman,” ujarnya.
Saifuddin menegaskan bahawa kenyataan mengenai tandatangan surat akuan itu tidak sama sekali bertujuan menyalahkan ibu mangsa. Sebaliknya, ia hanya penjelasan fakta yang akan diperincikan melalui prosiding inkues kelak.
“Jauh sekali untuk meletakkan ibu mangsa dalam posisi bersalah. Pegawai penyiasat hanya mahu permudahkan urusan keluarga dan mempercepatkan pengebumian, tetapi langkah itu tidak boleh dipertahankan. Jabatan Siasatan Jenayah akan mengambil langkah susulan,” katanya.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN), membangkitkan persoalan sama ada ibu mangsa telah diberikan penjelasan secukupnya mengenai kepentingan bedah siasat ketika kematian berlaku.






