Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail, mengingatkan agar penganjur himpunan solidariti JusticeForZara agar menolak sebarang ucapan berunsur politik kerana perjuangan solidariti ini adalah khusus untuk menuntut keadilan buat arwah, bukan platform kepartian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini selepas sebutan tarikh prosiding inkues kes kematian Zara Qairina.
“Bagi mereka yang ingin bersolidariti, saya dan pasukan saya sangat sokong, cuma patuhi undang-undang, ikut peraturan dan jaga kebersihan tempat bersolidariti.
“Jika ada yang ingin berpolitik, janganlah suruh datang. Solidariti ini adalah untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik. Penganjur perlu tolak orang-orang yang ingin memberi ucapan politik. Kita semua untuk Zara, bukan untuk parti,” tegasnya.
Hamid dalam pada itu, turut menekankan bahawa tragedi ini tidak seharusnya berlaku jika siasatan awal dijalankan dengan teliti, termasuk kewajipan melaksanakan bedah siasat sejurus selepas kejadian.
“Perkara ini tidak akan berlaku jika tidak kerana kecuaian di peringkat awal siasatan, iaitu ketika bedah siasat tidak dilakukan,” katanya.
Prosiding inkues kematian Zara dijadual bermula pada 3 September depan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Menurut Hamid, ibu mangsa, Noraidah Lamat, berasa lega apabila Perdana Menteri memberi jaminan bahawa tiada pihak yang terlibat akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Ibu Zara gembira dengan jaminan Perdana Menteri. Beliau memohon semua saksi terutama pelajar jangan takut untuk tampil. Kalau takut kepada polis, jumpa kami,” jelasnya.
Hamid turut mendedahkan terdapat individu yang berasa terancam selepas menerima ugutan daripada segelintir pengguna media sosial khususnya di TikTok.
“Saya galakkan saksi jumpa polis atau jumpa saya terus. Kepada tiktokers dan pempengaruh, tolong jangan takut-takutkan saksi. Kita mahu keadilan, jangan pula sampai memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya.






