Lima Remaja Akan Didakwa Kes Buli Zara Qairina

Lima Remaja Akan Didakwa Kes Buli Zara Qairina

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seramai lima remaja bawah umur bakal berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu ini berhubung kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan kesemua remaja terbabit berusia di bawah 18 tahun.

“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina. Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan pihaknya meneliti kertas siasatan yang dikemukakan polis dan memutuskan untuk menuduh beberapa individu berdasarkan keterangan yang diperoleh.

Menurut AGC, pertuduhan atas kesalahan buli itu tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang ditetapkan bermula 3 September depan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Walaupun suspek sudah dituduh kerana kesalahan buli, siasatan penuh berhubung kematian pelajar berusia 13 tahun itu masih diteruskan oleh pihak polis.

Inkues yang bakal dijalankan akan memberi ruang kepada mahkamah menentukan sama ada kematian tersebut mempunyai unsur jenayah atau kecuaian.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut, Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian.