KOTA KINABALU: Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru, yang diketuai oleh Dr. Ritchie Jay Cheng, bersama penduduk Kampung Tanjung Aru Lama telah melaksanakan program gotong-royong membaiki jeti kampung sejurus menerima aduan mengenai kerosakan serius struktur tersebut yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Program berkenaan ditaja sepenuhnya oleh Dr. Ritchie yang segera turun padang bersama pasukan Gagasan Rakyat Tanjung Aru sejurus menerima makluman daripada penduduk setempat.
Menurut beliau, tindakan segera itu amat penting memandangkan jeti berfungsi sebagai kemudahan asas utama bagi penduduk, terutama untuk keluar masuk kampung dan menjalankan aktiviti harian.
“Keselamatan penduduk adalah keutamaan. Sebaik sahaja menerima panggilan daripada penduduk, saya bersama pasukan PGRS terus turun padang untuk mengambil tindakan segera,” katanya.
Selain membaik pulih infrastruktur kritikal, gotong-royong ini turut menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan serta muafakat dalam kalangan masyarakat.
Gagasan Rakyat Tanjung Aru turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif berasaskan komuniti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.






