14 Jurulatih Sabah Diperkasa Dengan Kemahiran Dan Kempimpinan Bola Sepak A.S.

14 Jurulatih Sabah Diperkasa Dengan Kemahiran Dan Kempimpinan Bola Sepak A.S.

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah dan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur mengucapkan tahniah kepada 14 jurulatih dan pegawai pentadbir sukan Sabah yang telah dipilih untuk menyertai Program Pelawat Sukan 2023 di Amerika Syarikat.

Program ini akan berlangsung dari 6 hingga 23 Januari, dan akan memperkenalkan para peserta kepada gaya kepimpinan Amerika, amalan terbaik dan kontak utama dalam sukan, khususnya bola sepak, daripada pegawai pentadbir sukan rekreasi remaja berasaskan komuniti kepada jurulatih liga profesional.

Para peserta akan mempelajari teori dan teknik kejurulatihan terkini serta bertemu dengan organisasi sukan bertaraf dunia di Philadelphia dan Miami.

Mereka juga akan menghadiri Konvensyen United Soccer Coaches 2023, acara pembangunan profesional terkemuka untuk jurulatih dan pegawai pentadbir bola sepak.

Selepas tamat program ini, para peserta akan berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi dengan komuniti tempatan mereka melalui pelbagai program melatih pelatih dan klinik bola sepak di Sabah.

Majlis Belia Sabah, Kelab Bola Sepak Sabah, dan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur bekerjasama dalam mengenal pasti dan memilih peserta: Farish Aziz dan Hafipah Mohaidil dari Likas, Abdul Rahim bin Abu dari Bongawan, Alice Mic Michael dari Kiulu, Evlin Sulaiman dari Tenom, Melvin Tan dari Kota Belud, Rizal Hamid dari Putatan, Awang Shahzmee dari Tuaran, Annabelle Andrews dan Lindsay Michael dari Ranau, Nazrin Noin dari Papar, Fitri Amri dari Banggi, Ayrton Sikawa dan Elecsie Joseph dari Penampang.

Peserta Lindsay Michael Godtol berkata, “Masih sukar dipercayai apabila saya diberi peluang untuk pergi ke Amerika Syarikat untuk Konvensyen United Soccer dan program pertukaran yang dianjurkan oleh Kedutaan A.S. Saya sangat bersyukur, gembira, dan sudah bersedia sepenuhnya untuk pengalaman sekali dalam seumur hidup ini.”

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor menemui 14 peserta tersebut Ketika melawat beliau di pejabatnya di sini hari ini mengucapkan tahniah kerana terpilih. Beliau berkata sukan adalah cara terbaik untuk memperkasakan belia dan membina daya tahan dan kemahiran kepimpinan mereka.

“Gunakan peluang ini untuk belajar dan mendapatkan yang terbaik daripada pengalaman anda, menjadi duta yang baik dan membanggakan Sabah,” tambahnya.

Duta Besar A.S. ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, “Sukan merupakan alat yang sangat berkesan untuk merapatkan perbezaan budaya, meningkatkan hubungan yang lebih erat antara rakyat kedua-dua negara kita, dan memperkasakan belia dengan kemahiran kepimpinan untuk berjaya pada masa hadapan.

“Saya berharap semua jurulatih dan pegawai pentadbir sukan mendapat pengalaman program pertukaran yang bermanfaat di A.S. dan mengharapkan impak berterusan yang akan mereka hasilkan dengan belia dalam komuniti setempat mereka,” katanya.

Program Pelawat Sukan, yang diuruskan oleh Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan (ECA) Jabatan Negara A.S., memanfaatkan sukan untuk memperkasakan jurulatih dan pegawai pentadbir muda dengan kemahiran kepimpinan dan penyelesaian konflik, dan seterusnya menggalakkan keselamatan dan kestabilan serantau.

Ia juga bertujuan untuk memperkasakan wanita dan kanak-kanak perempuan, mempromosikan hak orang kelainan upaya, dan memupuk kejayaan akademik dan kepimpinan.