Ahli Majlis Daerah Diminta Tunjuk Komitmen Tinggi, Sokongan Padu Dalam Majukan Daerah

Ahli Majlis Daerah Diminta Tunjuk Komitmen Tinggi, Sokongan Padu Dalam Majukan Daerah

0
SHARE
Joachim
Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama dengan Ahli Majlis dan ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam Majlis Angkat Sumpah MKDM bagi sesi 2023-2025 ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

KOTA MARUDU, SABAH – Ahli-ahli majlis daerah diminta untuk menunjukkan komitmen yang tinggi dalam segala perancangan dan program  oleh Majlis Daerah disamping memberikan sokongan dan kerjasama padu dalam memajukan daerah masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ahli-ahli Majlis hendaklah menanamkan sikap kerja berpasukan, tegas, cekap dan kreatif dalam mencetuskan idea untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang lebih berkesan.

Pelantikan ini adalah merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan penting, katanya ketika berucap untuk merasmikan pada Majlis Upacara Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) bagi Sesi 2023 – 2025 yang diadakan Bilik Gerakan Majlis Daerah Kota Marudu, di sini, semalam

Upacara tersebut melibatkan seramai 17 orang (sebahagian lantikan baharu dan sebahagian lantikan semula) yang telah dilantik bagi meneruskan khidmat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh penduduk Kota Marudu.

Berdasarkan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah telah melantik Ahli Majlis Daerah Kota Marudu untuk berkhidmat mulai 20 Januari 2023 sehingga 20 Januari 2025.

Joachim berkata, sebagai Ahli Majlis,  amanah dan tanggungjawab terbabit bukan semata-mata untuk memajukan diri sendiri, malah untuk membantu dan memenuhi kepentingan penduduk Kota Marudu, menyumbangkan idea bernas,kepakaran kepada MDKM serta memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan majlis.

“Ahli Majlis perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam apa juga perancangan dan program yang akan dilaksanakan oleh MDKM dan berikanlah sokongan dan kerjasama yang padu untuk memajukan daerah Kota Marudu agar dapat bersaing seiring dengan daerah-daerah lain.

“Saya berharap, dengan pelantikan ini juga akan memudahkan Majlis Daerah dalam membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan wakil masyarakat iaitu ahli-ahli majlis yang dilantik.

“Namun demikian, apa juga bentuk keputusan yang diambil hendaklah selaras dengan undang-undang, peraturan-peraturan serta dasar dan polisi yang sedia ada.

“Di samping itu, saya juga mengharapkan kerjasama yang terbaik di kalangan ahli majlis dengan pegawai-pegawai MDKM di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya.

Selain itu, Joachim juga berkata pihaknya mengharapkan MDKM mampu menjadi sebuah pihak berkuasa tempatan yang dapat memenuhi kehendak dan ekspektasi masyarakat, sentiasa dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Turut hadir dalam upacara terbabit, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Faridah Giau; Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong dan Pegawai Executive, Abdul Sani Arsat.