KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah terus memperkukuh kecemerlangan penyelidikan marin menerusi perolehan lima bot baharu bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, perolehan aset baharu itu merupakan langkah strategik dalam memastikan penyelidikan marin dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan selamat, selaras dengan peranan UMS sebagai peneraju bidang sains marin dan akuakultur di peringkat serantau serta global.
Menurut beliau, sebelum ini Institut Marin Borneo (IMB) beroperasi menggunakan bot penyelidikan lama yang ada antaranya berusia lebih 20 tahun, sekali gus menjejaskan aspek kecekapan dan keselamatan penyelidik serta pelajar.
“Perolehan aset baharu ini akan memacu aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penyelidikan khususnya bagi pelajar Sains Marin dan Akuakultur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bot Baharu IMB di Jeti UMS, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Rosalam Sarbatly.
Kasim berkata, aset moden tersebut juga selari dengan Pelan Strategik UMS 2023-2027 yang memberi fokus kepada penyelidikan berimpak tinggi serta pembangunan bakat.
“Langkah ini turut menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan pembangunan Ekonomi Biru selain memperkukuh peranan UMS sebagai hab rujukan utama dalam sains marin tropika di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Dekan IMB UMS, Ching Fui Fui berkata, perolehan lima bot baharu itu dilaksanakan di bawah RMK-12 Rolling Plan Lima (RP5) bagi menggantikan aset lama yang tidak lagi sesuai digunakan.
Menurut beliau, bot-bot tersebut akan memberi impak besar kepada aktiviti akademik dan saintifik terutama dalam pelaksanaan latihan amali serta kajian lapangan secara lebih efektif, efisien dan selamat.
Katanya, tiga bot jenis vanguard yang diperoleh ialah UMS Enhalus, UMS Epinephelus dan UMS Batillipes, manakala dua lagi bot jenis katamaran dikenali sebagai UMS Cheilinus dan UMS Astrea.
“Pemilihan nama bot-bot ini diinspirasikan daripada khazanah biodiversiti marin serta bidang tujah penyelidikan IMB.
“Enhalus merujuk kepada rumput laut dominan Enhalus acoroides di perairan Sepanggar, manakala Epinephelus diambil daripada genus ikan kerapu yang ikonik,” katanya.
Beliau berkata, Batillipes pula merupakan nama saintifik bagi beruang air atau tardigrade yang melambangkan ketahanan dan ketelitian dalam penerokaan biodiversiti marin.
Tambahnya, Cheilinus dan Astrea masing-masing merujuk kepada genus ikan maming yang menjadi spesies kajian utama HICoE IMB serta genus karang laut sejajar dengan komitmen IMB terhadap pemuliharaan ekosistem marin.
Faihana berkata, kesemua bot tersebut turut dilengkapi ciri keselamatan mengikut piawaian Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) serta mampu menampung kapasiti kru dan penumpang bagi operasi penyelidikan di perairan Sabah.
IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) merupakan pusat kecemerlangan UMS yang memfokuskan bidang oseanografi, akuakultur lestari dan pemuliharaan biodiversiti marin.






