Pengaruh UMNO Sabah Semakin Pudar Meskipun Dengan Kontroversi ‘Skandal Rasuah’

Pengaruh UMNO Sabah Semakin Pudar Meskipun Dengan Kontroversi ‘Skandal Rasuah’

0
SHARE
Profesor Azmi Hassan, Penganalisis Politik dari Akademi Nusantara

KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu menerima hakikat bahawa ianya bukan lagi kuasa dominan seperti dahulu.

Malah, parti berpangkalan di Semenanjung itu berisiko mengalami kejatuhan lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang sekiranya ia terus memusuhi rakan sekutunya di peringkat persekutuan.

Bercakap kepada Free Malaysia Today (FMT), Penganalisis Politik, Profesor Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, UMNO Sabah amat memerlukan pakatan dengan parti tempatan jika mahu beraksi dengan baik pada pilihan raya.

Azmi berkata walaupun ia telah menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya akan datang, malah komponen utama PH iaitu PKR, telah menolak gesaan UMNO Sabah agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan berhubung skandal perlombongan yang didakwa.

“Pilihan terbaik UMNO Sabah ialah bekerjasama dengan PH dan menunjukkan keupayaannya untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Gesaan UMNO Sabah untuk Hajiji berundur tidak akan berjaya memandangkan kedudukan parti itu yang lemah.

“Strategi ini tidak boleh dipakai kerana GRS masih memegang majoriti…manakala UMNO Sabah duduk sebagai pembangkang bersama Warisan.

“Belajar dari kegagalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar untuk menjatuhkan Hajiji pada Januari 2023.

“Sama seperti desakan untuk menggulingkan Hajiji kali ini, UMNO Sabah tidak akan mendapat sokongan,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berpendapat bahawa UMNO Sabah telah “kehilangan plot” apabila mencadangkan supaya Hajiji digantikan oleh Timbalan Ketua Menteri. Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Penganalisis politik, Bridget Welsh, turut berkata pengaruh Bung telah merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau beependapat kontroversi baru-baru ini mungkin tidak dapat membantu Bung kerana terdapat momentum yang semakin meningkat untuk menggantikan kepimpinan UMNO Sabah.

“Sama ada UMNO Sabah boleh mendapat manfaat daripada kontroversi perlombongan bergantung kepada cara ia menguruskan konflik dalaman parti dan dengan siapa mereka bekerjasama semasa pilihan raya nanti,” katanya.