“Inilah Kali Terakhir Saya Ikut Pilihan Raya” – Hajiji

“Inilah Kali Terakhir Saya Ikut Pilihan Raya” – Hajiji

0
SHARE
Kredit Photo: Jabatan Penerangan

Oleh: Mirlen Axtius

TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor, memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang merupakan kali terakhir beliau bertanding.

Berucap ketika merasmikan Dewan DSP Hj Hajiji dan majlis persaraan Guru Besar SK Bundung, Tuaran, pagi tadi, Hajiji yang kini berusia 70 tahun berkata, lebih separuh daripada hidupnya telah dihabiskan sebagai wakil rakyat.

“Saya ini sudah tua, tapi hati masih muda. Sudah 35 tahun saya berkhidmat sebagai wakil rakyat. Saya beritahu orang-orang di Sulaman, inilah kali terakhir saya ikut pilihan raya. Itu pun kerana tanggungjawab saya sebagai Pengerusi GRS, Ketua Menteri dan Presiden Gagasan Rakyat,” katanya.

Beliau mengakui perjalanan politiknya penuh dengan cabaran, termasuk dikecam dan dikritik, namun tetap melihatnya sebagai amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjadi Ketua Menteri. Semua ini adalah ketentuan Allah SWT. Banyak orang pandai, tetapi tidak semua diberi peluang jadi wakil rakyat.

“Jadi kita harus bersyukur. Kalau kita bersyukur dan buat baik sesama manusia, insya-Allah hidup dan perjuangan kita akan diberkati,” jelas beliau.

Hajiji turut menekankan bahawa sepanjang menjadi pemimpin, prinsipnya adalah untuk sentiasa membuat kebaikan kepada rakyat, kerana sokongan dan kepercayaan mereka adalah kunci kepada keberhasilan perjuangan politiknya.