Guru Didakwa Sebar Fitnah Zara Qairina Mati Dalam Mesin Basuh

Guru Didakwa Sebar Fitnah Zara Qairina Mati Dalam Mesin Basuh

0
SHARE

SEPANG: Seorang guru sekolah menengah akan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang pagi ini selepas dipercayai menyebarkan maklumat palsu mengenai punca kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.

Memetik Sinar Harian, tertuduh yang menggunakan akaun TikTok dengan nama SHA_Abrienda didakwa menyebarkan kandungan bahawa Allahyarhamah meninggal dunia akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Prosiding dijadualkan bermula jam 8.30 pagi dengan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, dalam sidang media pada 13 Ogos lalu mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 39 tahun di Rawang, Selangor berhubung penyebaran fitnah itu.

Pendakwaan kes berkenaan akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mendedahkan guru terbabit mengakui bahawa kandungan TikTok berkenaan hanyalah dibuat sebagai ‘content’.

Untuk rekod, Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu. Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai, sehari selepas kejadian tragis itu.