
KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semalam dianugerahkan pangkat Laksamana Muda Maritim Kehormat.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penganugerahan pangkat kehormat tersebut merupakan yang pertama seumpanya dalam kalangan Yang di-Pertua Negeri di negara ini.
“Julung-julung kalinya, Maritim Malaysia melakar sejarah pada pagi ini kita telah selamat menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kehormat Tuan Yang Terutama Tun.
“Maritim Malaysia telah menganugerahkan pangkat Laksamana Muda Maritim Kehormat dan ini merupakan kali pertamanya Maritim Malaysia pangkat sebegini kepada Yang di-Pertuan Negeri,” ujar beliau.
Menurut Saiful, penganugerah pangkat kehormat itu sebagai penghargaan pihaknya kepada Tun Juhar serta kerajaan Negeri Sabah atas sokongan penuh dalam memastikan keselamatan perairan Sabah sentiasa terjamin.
“Jadi, Maritim Malaysia menjunjung kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana sudi menerima pangkat kehormat dari Maritim Malaysia.
“Penganugerahan ini adalah sebagai tanda penghargaan Maritim Malaysia kepada Tun sendiri dan kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa memberi memberi perhatian dan sokongan kepada Maritim Malaysia khasnya Maritim Negeri Sabah dalam usaha kita memastikan perairan Sabah ini terpelihara dijauhi dari pelanggaran undang-undang dan memastikan perairan negara selamat daripada bencana yang tidak diingini,” dedah beliau kepada media di Istana Seri Kinabalu.
Majlis pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Saiful diiringi oleh Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Hadir menyaksikan majlis pemakaian pangkat kehormat terbabit ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia Negeri Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH