Saman RM20,000 Proton Saga Merah Jadi Tanda Tanya di Segama

Saman RM20,000 Proton Saga Merah Jadi Tanda Tanya di Segama

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah Proton Saga merah mencetuskan persoalan apabila didakwa mengumpul hampir RM20,000 saman parkir tidak berbayar di kawasan Segama.

Perkara itu terbongkar selepas seorang pemilik kedai memuat naik gambar kenderaan berkenaan di media sosial dan mendakwa ia telah diparkir di kawasan tersebut sejak beberapa hari tanpa bayaran.

Beliau turut menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan sewajarnya.

Semakan orang ramai menerusi aplikasi DBKK kemudian mendapati kenderaan itu mempunyai kira-kira 300 saman tertunggak dengan jumlah keseluruhan hampir RM20,000.

Ada yang mendakwa mengambil masa beberapa minit untuk menatal sehingga ke rekod saman paling awal, yang dipercayai bermula sejak Disember 2025.

Rekod dalam aplikasi itu juga menunjukkan kenderaan berkenaan bukan sekadar diletakkan di satu petak, sebaliknya berpindah-pindah lokasi parkir di sekitar Segama dalam tempoh berkenaan.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersimpati dan membuat spekulasi pemilik mungkin uzur, dimasukkan ke hospital atau kenderaan ditinggalkan pihak lain.

Namun, tidak kurang juga yang mempersoalkan tahap penguatkuasaan, dengan menyifatkan jumlah saman yang begitu tinggi sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

Seorang pengguna media sosial turut menyatakan bahawa pas parkir bulanan zon hijau DBKK yang berharga sekitar RM53 hingga RM55 jauh lebih murah berbanding jumlah saman yang terkumpul.

Malah, ada yang berpendapat denda RM20,000 itu boleh melebihi nilai semasa kereta tersebut jika tidak dikurangkan atau dikecualikan.

DBKK difahamkan sedang mengesan kenderaan berkenaan untuk tindakan lanjut.