Christina Bermatlamat Bawa Lebih Ramai Pelancong Ke Sabah

Christina Bermatlamat Bawa Lebih Ramai Pelancong Ke Sabah

0
SHARE
Christina Liew
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah baharu, Datuk Christina Liew ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah baharu, Datuk Christina Liew bermatlamat untuk memastikan kemasukan lebih ramai pelancong ke China.

Katanya, beliau menjangkakan tahun 2024 bakal menjadi tahun terbaik untuk kementerian kerana terdapat pasaran yang rancak untuk pembangunan pelancongan.

“Bermula tahun 2023, saya menjangkakan akan menjadi tahun yang sibuk, mengujakan dan mencabar untuk industri pelancongan di Sabah.

“Pada minggu hadapan, saya akan bertemu dengan pembantu menteri, setiausaha tetap dan pegawai kanan kementerian.

“Saya juga akan bertemu dengan pemain industri pelancongan bagi merancang pelan
untuk Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Dalam pada itu, Christina yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu berkata Sabah sebelum ini merekodkan kedatangan sekitar 4.3 juta pelancong sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Mengulas lanjut, lebih separuh daripada 4.3 juta pelancong itu merupakan pelancong dari China sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dari 2018 hingga 2020 di bawah kerajaan pimpinan Parti Warisan (WARISAN).

“Tidak lama kemudian, terdapat perubahan kerajaan dan kemudian disusuli dengan pandemik COVID-19, jadi pasaran sangat senyap.

“Kini apabila keadaan sudah reda, saya percaya sektor pelancongan akan menghasilkan momentum yang lebih besar lagi,” katanya.

Semalam, Christina merupakan salah seorang dari ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah bersama ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe yang dilantik menjadi menteri dalam majlis istiadat mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, semalam.