KDYMM SULTAN BRUNEI UCAP TAHNIAH KEPADA DATO’ SERI ISMAIL SABRI SEBAGAI PERDANA...

KDYMM SULTAN BRUNEI UCAP TAHNIAH KEPADA DATO’ SERI ISMAIL SABRI SEBAGAI PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KE-9

0
SHARE
Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien...

BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI – Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah berkenan menghantar titah perutusan TAHNIAH kepada Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Memetik laporan Pelita Brunei, Baginda bertitah di dalam perutusan tersebut menyatakan bahawa jalinan persahabatan yang telah sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus berkembang maju melalui hubungan kerjasama dua hala di pelbagai bidang berkepentingan.

Baginda turut mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia melalui Dato’ Seri Ismail Sabri dalam meningkatkan lagi hubungan bermakna ini demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat bersama.

Dalam pada masa yang sama, Raja Isteri PengiranAnak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam mengalu-alukan kunjungan Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob dan Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin (isteri Ismail Sabri) ke Negara Brunei Darussalam dalam masa terdekat dan bersesuaian.

Di akhir perutusan tersebut, Baginda berdua berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Ismail Sabri serta keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan di bawah perlindungan-Nya.