TYT, KM HAJIJI TUNAI SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI MASJID NEGERI

TYT, KM HAJIJI TUNAI SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI MASJID NEGERI

0
SHARE
Juhar
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersalaman dengan para jemaah yang hadir dan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Negeri ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Masjid Negeri pada Rabu.

Hajiji yang berjubah putih tiba di Masjid Negeri sekitar jam 7.00 pagi. Sementara Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni tiba di Masjid Negeri sekitar 7.20 pagi.

Solat sunat Aidilfitri dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi Kuanting dan khutbah Aidilfitri disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar.

Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, Hajiji bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M.Yahya dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya menghadiri majlis jamuan pagi di Masjid Negeri.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Jumain Abdul Ghani.