Terhidu Gas Klorin Punca 23 Penduduk Terpaksa Dikejarkan Ke Hospital

Terhidu Gas Klorin Punca 23 Penduduk Terpaksa Dikejarkan Ke Hospital

0
SHARE

MELAKA – Seramai 23 penduduk di Taman Tambak Paya di sini dikejarkan ke Hospital Melaka di sini hari ini selepas dilaporkan mengalami sesak nafas dipercayai akibat terhidu gas klorin.

Menurut laporan Kosmo Online, dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, lebih 250 penduduk di kawasan tersebut turut diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing oleh pihak bomba atas faktor keselamatan.

Difahamkan, kejadian itu mempunyai kaitan dengan penemuan tujuh tong mengandungi bahan kimia yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) negeri, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.51 petang dan sepasukan Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya serta Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi pada pukul 6.01 petang, pihak kami mendapati ada bau yang masih belum dikenal pasti namun ia memedihkan mata dan tekak.

“Semua penduduk di kawasan berhampiran diarahkan mengosongkan rumah masing-masing. Kerja-kerja pembersihan dan menyahcemar bahan kimia sedang dilakukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.