Aidilfitri Wadah Erat Hubungan, Perkasa Keharmonian – Arifin

Aidilfitri Wadah Erat Hubungan, Perkasa Keharmonian – Arifin

0
SHARE
Arifin
Arifin ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Masyarakat diseru untuk memanfaatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai wadah mengerat hubungan sesama insan dan memperkasa keharmonian pelbagai kaum.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Sabah amat terkenal dengan kepelbagaian kaum yang sentiasa hidup harmoni dan meraikan perayaan tanpa perbezaan fahaman agama.

“Saya meminta agar rakyat memanfaatkan Aidilfitri ini bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan terus memperkasa keharmonian dalam kalangan kita.

“Seperti mana yang kita maklum masyarakat di negeri ini sentiasa hidup harmoni walaupun terdapat pelbagai kaum dan berbeza agama.

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita eratkan silaturrahim, ziarah menziarahi dan manfaatkan nilai berkenaan sesama kita bagi membina perpaduan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Sambutan Hari Kebesaran Islam Negeri Sabah berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sabah (MNS), pada Rabu.

Terdahulu Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hadir menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama lebih 3,500 jemaah yang diimamkan Imam Besar MNS, Suhaidi Kaunting.

Beliau dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang tiba pada jam 7.20 pagi disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri lll, Datuk Shahelmey Yahya dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M.Yahya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Roslan Muharam dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH