KOTA KINABALU: Cadangan pembangunan projek Kinabalu Cable Car di kawasan Kundasang perlu memenuhi prinsip pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pihak Jesselton International Sdn Bhd yang membentangkan cadangan projek tersebut bersama laporan kajian kebolehlaksanaannya.
Menurutnya, sebarang pembangunan melibatkan kawasan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan keutamaan diberikan kepada kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.
“Gunung Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang tinggi. Justeru, setiap cadangan pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jafry menegaskan, kementerian menyokong pembangunan yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif.
Beliau turut menjelaskan bahawa di peringkat antarabangsa, terdapat beberapa contoh pembangunan cable car di kawasan sensitif termasuk Tapak Warisan Dunia yang dilaksanakan dengan kawalan ketat serta pendekatan berasaskan pemuliharaan.
Antaranya ialah Skyrail Rainforest Cableway di Australia, Teleférico del Teide di Sepanyol dan Tianzi Mountain Cableway di China yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif.
Selain itu, projek seperti Table Mountain Aerial Cableway dan Sugarloaf Cable Car menunjukkan pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan biodiversiti, melalui pengurusan pelawat secara terkawal serta impak minimum terhadap alam sekitar.
“Pengalaman antarabangsa membuktikan kemudahan seperti ini mampu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, selain meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan. Namun, pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan “conservation first” perlu dijadikan asas dalam menilai cadangan projek tersebut, selain memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.
Dalam masa sama, cadangan itu juga perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual berkaitan Gunung Kinabalu.
Jafry turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.
“Sebarang keputusan akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Beliau menambah, kementerian kekal komited memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari.






