Projek Star City Terbengkalai Diteruskan Sebagai KK One

Projek Star City Terbengkalai Diteruskan Sebagai KK One

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Projek StarCity yang terbengkalai sejak sekian lama akan diteruskan dengan penjenamaan semula projek yang dikenali sebagai KK One.

Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Jamawi Jaafar berkata, projek tersebut akan dimajukan semula oleh (SUDC) bersama Fusun International Holiding Limited.

Menurut Jamawi projek tersebut sepatutnya dimulakan pada tahun 2020 tapi tertangguh ekoran pandemik COVID-19.

“Sekarang keadaam semakin pulih dan kita akan meneruskan semula rancangan tersebut dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Fusun International Holding Limited sebuah syarikat dari China yang diketuai oleh pengerusi Eksekutifnya Feng Chuibin, semalam.

Jamawi berkata sebelum projek dapat diteruskan beberapa perkara perlu diperhalusi antaranya perundingan dengan pembeli lama dan pihak bank.

“Kita menjangkakan projek ini akan dimulakan pertengahan tahun ini.

“SUDC akan menjadikan projek ini sebagai projek keutamaan lebih-lebih lagi ianya merupakan satu projek mega dibawah perancangan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Projek berkenaan akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dan ianya merupakan pusat komersial yang akan menjadi daya tarikan baru di Sabah khususnya di bandar Kota Kinabalu.