SEMPORNA, SABAH – Bekas Setiausaha Umno Bahagian Semporna, Mohd Syam Muksan, berhasrat untuk merebut jawatan Ketua UMNO bahagian Semporna dalam pemilihan parti Mac ini.
Mohd Syam berkata beliau mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat tempat di hati rakyat khususnya di Parlimen Semporna.
“Saya yakin dan percaya dengan pengalaman saya menjadi Setiausaha UMNO bahagian di sini dapat menggembeleng segala usaha dan gerak kerja yang sepadu.
“Bersama-sama kita memastikan kebangkitan UMNO dan meyakinkan rakyat khususnya di Semporna agar kembali bertaut kepada UMNO dan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang pencalonan di Pejabat UMNO Bahagian Semporana, semalam.
Mohd Syam sebelum ini pernah menjawat Exco Penerangan Pemuda UMNO Sabah.
“Saya juga percaya, hubungan baik saya bersama akar umbi dapat membawa semua jentera untuk terus melipat ganda usaha bagi mencapai kemenangan para Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi agama, bangsa dan tanah air.
“Saya bersedia menggalas amanah besar ini dan merayu sokongan, dokongan serta undi seluruh perwakilan di Semporna,” katanya.





