Kerajaan Negeri Terus Sokong Keperluan Polis – Hajiji

Kerajaan Negeri Terus Sokong Keperluan Polis – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis yang disifatkan sebagai rakan strategik utama dalam menjamin keselamatan serta pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keselamatan merupakan asas penting kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat serta keyakinan pelabur di Sabah.

Keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur,” katanya ketika merasmikan Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), aspek keselamatan menjadi pemudah cara utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta teras dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut memuji inisiatif menjadikan bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah sebagai Galeri Polis Negeri Sabah.

Menurutnya, galeri tersebut bukan sekadar ruang pameran, tetapi merupakan “arkib hidup” yang mengabadikan sejarah, pengorbanan serta komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah.

“Ia adalah saksi perjuangan, pengorbanan dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara serta wadah menghargai jasa mereka, sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara,” katanya.

Tambah beliau, antara pameran utama di galeri itu termasuk insiden Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013 yang kekal menjadi lipatan sejarah penting negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kewujudan galeri berkenaan amat signifikan sebagai medium memastikan pengorbanan wira negara terus terpahat dalam ingatan rakyat.

Selain itu, galeri tersebut turut berfungsi sebagai pusat pendidikan dan rujukan sejarah, khususnya kepada generasi muda agar mereka lebih menghargai nilai keamanan yang dikecapi hari ini.

“Ia mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang oleh pasukan polis,” katanya.

Sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, Hajiji turut menyeru seluruh anggota PDRM supaya terus meningkatkan semangat dan iltizam dalam menjalankan tugas dengan penuh komited.

“Bagi mengekalkan tahap integriti dalam perkhidmatan, saya berharap semua anggota polis akan terus berkhidmat dengan disiplin dan integriti yang tinggi.

“Jadikan paparan di galeri ini sebagai pembakar semangat untuk terus memelihara maruah pasukan,” katanya.