MELAKA – Individu yang mengakui dirinya sebagai Sultan Melaka meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.
Almarhum yang turut dikenali sebagai Tuanku Sultan Norjan Norjan telah dikebumikan pada 21 Ogos 2021 Jam 3 petang kelmarin (21 Ogos) di tanah perkuburan Islam Samudera Batu Caves.
Menurut sumber, kematiannya dimaklumkan oleh aktivis yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menerusi akaun Facebook miliknya kelmarin.
“Assalamualaikum… Innalillah wainna lillahirojiun..
Dukacitanya dimaklumkan bahawa Tuanku Raja NoorJan Shah telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.
Salam takziah buat mak engku Tuanku Zaidatul Mardiah Yussuf serta seluruh ahli keluarga dan kerabat”.
Difahamkan, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini, petang tadi.
Noor Jan, 64, sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dia adalah Sultan Melaka.
Terdahulu pada 2016, dia pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka dengan empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah.
Noor Jan didakwa menyamar sebagai Sultan Melaka dan mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang serta darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kepada empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada satu majlis di sebuah resort di Alor Gajah, pada 28 Disember 2013 dan dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, pada Julai 2018, Mahkamah Sesyen Air Keroh melepaskan dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan menipu dan menyamar.
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, namun pada April 2019, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.